Rahsia.

RAHSIA MALAM LAILATULQADAR

Guru Mursyid Thariqat Syadziliyah, Asy-Syekh Abul Hasan Asy-Syadzily Rahimahullah, tersebut di dalam kitab manaqibnya, bahwa semenjak berumur baligh hingga akhir hayat beliau, setiap tahun beliau tidak pernah terlewatkan mendapati turunnya Lailatul Qadar.

Beliau pernah mengatakan apabila awal Ramadan jatuh pada hari:
Ahad maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 29
Isnin maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 21
Selasa maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 27
Rabu maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 19
Khamis maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 25
Juma’at maka Lailatul Qadar akan turun pada tanggal 17
Sabtu maka Lalilatul Qadar akan turun pada tanggal 23

Imam Al-Ghazai R.A. pernah mengatakan bahwa petanda rahsia Lailatul Qadar itu adalah terbukanya Alam Malakut. Alam Malakut ini berada dalam batin manusiawi yang paling terdalam. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bahwa jika hati anak Adam itu tidak dikelilingi oleh syaitan, nescaya ia mampu melihat rahsia-rahsia Kerajaan Langit.

Justeru itulah kebanyakan ahli sufi mencari rahsia Lailatul Qadar itu di dalam suasana batin qalbu mereka sendiri. Di dalamnya mereka dapat merasakan ketenangan dalam beribadah kepada Allah tanpa lagi adanya gangguan-gangguan atau terhapus dari segala akwan (gambaran-gambaran)

Alam Nasut duniawi ini. Mereka beribadah dengan niat yang seikhlas-ikhlasnya dan tidak bertujuan mencari pahala kecuali keredhaan Allah semata-mata.

Apabila mereka dapat mencapai rasa ketenangan yang menyeluruhi suasana batin mereka, itulah petandanya mereka telah berada di Alam Malakut.

Di Alam Malakut itu mereka dapat melihat secara batiniyah akan ramainya malaikat yang sibuk menguruskan segala urusan.

Mereka melihat roh-roh yang berhimpun, sama ada roh-roh orang yang masih hidup, sudah mati atau yang belum dilahirkan jasadnya. Dari Alam Malakut mereka berpindah ke Alam Jabarut yang menghubungkan Alam Ketuhanan dengan Alam Kemakhlukan. Di Alam Jabarut itulah mereka menerima pelbagai rahsia Ketuhanan yang tidak boleh diceritakan kepada orang awam dan mereka bertemu dengan roh-roh para Nabi dan Rasul serta roh-roh para Auliya’i wassohlihin. Dan seterusnya mereka melalui Alam Bahut, sempadan alam yang memisahkan kemakhlukan dengan Ketuhanan, sehingga yang tinggal pada mereka hanyalah SirulLah (Rahsia Allah), justeru dengan SirulLah itulah mereka menembusi Alam Lahut /Alam Qudsiyyah menyaksikan Allah, hidup dalam Allah dengan Allah tanpa rasa adanya kematian atau kefanaan.

Sehingga terbitnya fajar di Alam Nasut, mereka dikembalikan kepada peringkat roh masing-masing yang berada di dalam jasad mereka. Itulah sebenarnya pengalaman dan peristiwa Lailatul Qadar buat ahli sufi.

Memahami Malam LailatulQadar yang lebih baik dari 1000 bulan yang pada malamnya diturunkan al Quran. Sebenarnya malam LailatulQadar tidak harus ditunggu tetapi dicari pada diri sendiri. Malam adalah simbolik kegelapan atau kejahilan kerana tidak tahu yang menggerakkan diri kita adalah Allah. Maka, apabila kita terbuka hijab dan tersedar bahawa yang menggerakkan kelopak mata, yang menggerakan tangan, yang memandang adalah Allah, maka itulah LailatulQadar yang di cari-cari dan ia lebih baik dari 1000 bulan.

Bulan adalah simbolik datangnya cahaya atau ilmu yang mencerahkan kegelapan dan membawa kepada Kesedaran Ilahi bahawa kita ini lahaulawala… Semoga kita ketemu dan diperingatkan agar kekal dalam LailatulQadar

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Al-Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu?”
(Surah Al-Qadar; Ayat 1 – 2)

“Malam Lailatul-Qadar (Malam Kemuliaan) itu lebih baik dari seribu bulan.”
(Surah Al-Qadar; Ayat 3)

Semuga bermunafaat untuk renungan bersama